Sejumlah 707 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2) semalam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ismail berkata kesemua mereka tiba dari 11 negara iaitu China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Kemboja, Filipina, Hong Kong, Pakistan, Arab Saudi dan Jepun.

"Seramai 706 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang individu telah dibawa ke hospital," katanya.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu tidak termasuk 96 rakyat Malaysia yang tiba dari India, 6.31 pagi tadi.

"Daripada jumlah itu, 62 individu merupakan Jemaah Tabligh dan 34 individu lagi merupakan rakyat Malaysia yang pulang menaiki pesawat yang sama.

"Mengambil kira faktor risiko jangkitan, kesemua 96 individu akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai, Negeri Sembilan," ujarnya.

Menurut beliau, pusat pemantauan itu diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikawal oleh PDRM.

Justeru, pihak luar termasuk ahli keluarga tidak dibenarkan mengunjungi AKEPT.