Konvensyen Media Sosial UMNO yang diadakan buat pertama kalinya menjadi platform penting dalam memberi penerangan tentang kepentingan, etika media sosial serta gerak kerja yang lebih berkesan untuk semua penggiat media sosial UMNO seluruh negara.

Ini sebagai persediaan penting dalam memperkuat jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijadual bakal diadakan dalam masa terdekat.

Menurut Pengerusi Biro IT UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan, kehadiran peserta konvensyen kali ini amat memberangsangkan selepas berjaya mencatatkan lebih 3,800 peserta.

Berikut ialah antara amanat penting yang dikongsikan sepanjang konvensyen berlangsung pada Ahad:

1. Sejak diambil alih oleh Datuk Ahmad Maslan, 149 bahagian UMNO diaktifkan semula Biro IT dan Media sosial.

2. Pimpinan utama UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui, kegagalan Barisan Nasional memenangi majoriti dua per tiga dalam dua pilihan raya umum lalu adalah diakibatkan oleh kegagalan memenangi 'perang' di alam maya.

3."Sebarang isu harus dijawab dengan segera agar persepsi negatif rakyat dapat dihapuskan secepat mungkin. Kita kena jawab ketika isu itu timbul bukan ketika ia dibawa ke mahkamah. Tuduhan melalui berita palsu yang lambat dijawab menyebabkan persepsi masyarakat ke atas kita rosak sama sekali." - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen.

4. ”Tuhan dah uji kita beberapa kali, kalau gagal kali ni, kita tinggal sejarah.” - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

5. Presiden UMNO mahu setiap penggiat media sosial UMNO untuk menyemarakkan semangat positif serta mengamalkan etika media sosial yang baik bagi menjawab sebarang fitnah mahupun isu yang timbul.

6. "Ingat! Musuh kita ialah pembangkang. Jangan ada 'friendly fire' ke atas pihak kita biarpun kita menyampah dengan dia." - pesan Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen

7. "Kandungan kita di media sosial kena tulen dan elakkan daripada menyerang peribadi individu." - Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.