SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Terkini COVID-19

- ASEAN dan China komited dalam mengurangkan kesan penularan jangkitan COVID-19 terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di semua negara terjejas.

- Malaysia dan Singapura akan mempertingkatkan kerjasama di Tambak Johor yang mempunyai pergerakan manusia dan kenderaan yang tinggi, dalam usaha menangani penularan jangkitan COVID-19.

- Malaysia akan membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada Selasa depan.

- Individu yang kehilangan pekerjaan akibat COVID-19 boleh tampil membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi mendapatkan bantuan.

*Ikuti perkembangan terkini COVID-19 dari semasa ke semasa dalam LAPOR LANGSUNG.



2. COVID-19 boleh diubati

Menteri Luar China, Wang Yi percaya penularan wabak COVID-19 boleh dikawal serta diubati.

Statistik menunjukkan terdapat penurunan mendadak dalam kes baharu virus itu di China dengan jumlah jangkitan merosot bagi tempoh 15 hari berturut-turut.

Dalam tempoh sama juga, lebih 14,000 pesakit dibenarkan keluar dari hospital.



3. Mesyuarat Majlis Presiden

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dijadual mengadakan pertemuan malam ini selepas kali terakhir bermesyuarat November tahun lalu.

Tumpuan dijangka terarah kepada keputusan untuk memuktamadkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang dihadiri pimpinan dari empat parti utama PH itu akan diadakan selama dua jam sebelum ia diteruskan dengan satu sidang media pada pukul 10.30 malam.



4. Najib, Rosmah beri keterangan

Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka hadir ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



5. Rizalman undur diri

Pereka fesyen tersohor tanah air, Datuk Rizalman Ibrahim mengejutkan penonton konsert Kesuma Jiwa di Istana Budaya Kuala Lumpur dengan mengumumkan pengunduran dirinya dari bidang fesyen.