Sebelum memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Pengeluar topeng muka setuju tingkat pengeluaran

Kerajaan meminta pengeluar topeng muka tiga lapisan meningkatkan kapasiti masing-masing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya turut memberi jaminan akan membeli lebihan topeng muka yang dikeluarkan kilang terbabit.

Ini adalah bagi memenuhi keperluan topeng muka ketika negara sedang berhadapan dengan wabak novel koronavirus.

Setakat ini, kes positif jangkitan di Malaysia ialah sebanyak 15 kes dengan seorang pesakit pulih.

2. WHO pastikan kelengkapan perlindungan diri mencukupi

Di peringkat global pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memastikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) seperti topeng muka mencukupi di setiap hospital dan pusat perubatan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus keutamaan diberikan kepada kakitangan perubatan dan mereka yang dijangkiti koronavirus.

Koronavirus yang bermula di Wuhan, China, lebih dua minggu lepas kini catat angka kematian lebih 700 orang dan menjangkiti 28 buah negara.

3. Selamat Hari Thaipusam!

Di tengah-tengah kegusaran mengenai penularan koronavirus, penganut beragama Hindu menyambut perayaan Thaipusam hari ini.

Menurut kepercayaan penganut, ia bagi mengingati kejayaan Dewa Murugan melawan kuasa jahat dikenali sebagai Soorapadman sekaligus mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Menjadi tumpuan, tentunya sambutan di kuil Batu Caves, di mana penganutnya membawa pelbagai jenis kavadi untuk membayar nazar dan mendapat restu Dewa Murugan.

Memandangkan Batu Caves dijangka menerima lebih 15,000 pengunjung sempena sambutan tersebut, semua pihak diminta mengutamakan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau 'hand sanitizer' serta memakai penutup mulut dan hidung.

Ini adalah penting sebagai langkah pencegahan penyebaran koronavirus.

Kementerian Kesihatan sebelum ini juga menasihatkan supaya mereka yang tidak sihat supaya menjauhi kawasan perhimpunan mega sedemikian.

Lazimnya, sambutan Thaipusam setiap tahun turut sama menarik minat pelancong tempatan dan asing untuk berkunjung ke beberapa kuil utama di negara ini, tanpa terkecuali di batu caves.

4. Tiada perbincangan Pakatan Nasional

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan mesyuarat MT UMNO pada Jumaat hanya membincangkan berkenaan memperkuatkan Muafakat Nasional.

Malah tegasnya, mesyuarat itu tidak membincangkan isu Pakatan Nasional seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.

Dalam mesyuarat MT UMNO yang berlangsung selama empat jam itu, ia tidak membincangkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran.

Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa mesyuarat tersebut akan memuktamadkan syor itu.

Spekulasi mengenai kerajaan campuran melibatkan Bersatu, UMNO dan Pas bermula sejak 3 Februari lalu berikutan pendedahan oleh Datuk Lokman Noor Adam.

Malah, pada Khamis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkata, Bersatu sedia bekerjasama dengan UMNO jika parti itu memberi sokongan kepadanya.

Bagaimanapun, soal kerjasama Bersatu-UMNO bukan sahaja tidak dibincangkan, malah, Lokman yang membuat pendedahan itu turut dikenakan tindakan tata tertib.

5. Lokman Noor Adam dipecat?

Sementara itu, dimaklumkan dipecat dari UMNO, Lokman berkata, beliau menerimanya dengan penuh reda.

Pemecatan itu, bagaimanapun tegas Lokman, diketahuinya melalui sumber yang turut menghadiri mesyuarat MT UMNO pada Jumaat.

Menurutnya, beliau menganggap pemecatan tersebut satu penghormatan kerana berjaya menggagalkan usaha presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Dr Mahathir.