SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Indeks Persepsi Rasuah

Hari ini, Transparency International-Malaysia (TI-M) akan mengeluarkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi 2019.

Untuk rekod, bagi 2018, Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-61 daripada 180 negara berbanding tempat ke-62 tahun sebelumnya.

Malaysia juga berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada 2018 dan 2017.

Skor dalam CPI ditentukan berdasarkan kepada 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala sifar sehingga 100.

Sifar dianggap paling rasuah, manakala 100, dianggap paling bersih.

2. Masalah kemarau dan bekalan air di Kedah

Tiada catuan air di Kedah walaupun kemarau panjang mengakibatkan air empangan susut ketika ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata, secara puratanya hanya 8 peratus akaun pengguna air sahaja yang terjejas.

Dalam hal ini, pengguna yang tidak terjejas dengan masalah bekalan air diminta berjimat cermat dan mengelak berlaku pembaziran air.

Katanya, laporan yang diterima Syarikat Air Darul Aman (SADA) adalah dari pengguna yang mengalami tekanan air rendah di mana kediaman mereka terletak jauh daripada kawasan loji air.

3. Forum Ekonomi Dunia di Davos

Ketika mana pelbagai pihak memberi reaksi positif terhadap komitmen penanaman 1 trilion pokok bagi menyimbangi pemanasan global, aktivis remaja perubahan iklim, Greta Thunberg sekali lagi membidas dengan nada penuh sinis.

Beliau melontar persoalan dengan membandingkan kenapa perlu membayar orang lain untuk menanam pokok di Afrika jika hutan di Amazon terus digondolkan secara habis-habisan?

Alam sekitar dan perubahan iklim antara isu panas yang diperjuangkan di platform Forum Ekonomi Dunia (WEF) sejak beberapa edisi lepas.

4. Perkembangan kes koronavirus

Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka mengumumkan sama ada akan mengisytiharkan satu situasi kecemasan kesihatan awam antarabangsa susulan penyebaran kes koronavirus.

Sementara itu, Wuhan, bandar dengan 9 juta penduduk di China, akan menggantung perkhidmatan pengangkutan awamnya bermula jam 10 pagi Khamis waktu tempatan, dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.

Setakat ini, koronavirus sudah mengorbankan 17 nyawa dan lebih 500 kes jangkitan direkodkan.

5. Keputusan EPL dan EFL

Liga Perdana Inggeris

Leicester 4 -1 West Ham
Tottenham 2 -1 Norwich
Man Utd 0 -2 Burnley

Piala EFL

Charlton 0 -0 Fulham
Nottm Forest 1 -1 Reading

Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Rabu di sini.