SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:


1. Pendedahan rakaman audio amaran untuk elak perbuatan jahat

Pendedahan rakaman audio yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah amaran buat semua.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar mengingatkan semua rakyat Malaysia termasuk ahli politik dan pegawai awam untuk tidak melakukan perkara jahat.

Sementara itu, setiausaha politik dan aktivis sosial, Syahredzan Johan berkata pendedahan oleh SPRM itu dilihat bakal menggalakkan lebih banyak pendedahan seumpamanya.

Ini kerana pemberi maklumat atau 'whistleblower' akan menganggap pendedahan seumpamanya tidak akan dipandang remeh oleh pihak berkuasa.



2. Perayaan kebudayaan harus dirai semua lapisan masyarakat

Jemaah Menteri pada Rabu sebulat suara bersetuju bahawa perayaan kebudayaan harus diraikan oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy berkata keputusan itu diambil selepas timbul kebimbangan mengenai penyertaan umat Islam dalam merayakan sambutan kebudayaan masyarakat terkenal bukan Islam baru-baru ini.

Sementara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengharamkan apa-apa perayaan namun akan memberikan pendapat mengenai etika yang perlu dipatuhi umat Islam yang menghadiri sesuatu perayaan jika diminta.



3. Dong Jiao Zong akui pembelajaran tulisan Jawi bukan bermotif Islamisasi

Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) pada Rabu bersetuju pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukan bertujuan untuk mengislamkan mana-mana pelajar bukan Islam.



4. Angkasawan wanita cipta sejarah tawan 'ruang angkasa'

Sejarah tercipta apabila ruang angkasa bakal didominasi dua angkasawan wanita.

Jessica Meir dan Christina Koch dijadualkan berlepas untuk menggantikan bateri pada panel solar di bahagian luar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).



5. Finas akan berusaha bantu ringankan penderitaan pelakon Puteri Balqis

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkata pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya kepada pelakon cilik, Puteri Balqis yang kini dilaporkan mengalami kesempitan hidup.

Menurut Hans, beliau sudah mengarahkan kakitangan Finas untuk mengambil tindakan yang sepatutnya bagi memastikan segala bantuan dapat disalurkan bagi meringakan beban pelakon tersebut.

Puteri Balqis dalam pada itu memohon semua pihak termasuk golongan selebriti agar tidak mempertikaikan apa-apa mengenai ibunya yang didakwa membiarkan dirinya terkontang-kanting dalam mencari haluan meneruskan kehidupan mereka dua beranak.



Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Rabu di sini.