SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:

1. Kematian melibatkan influenza A?

Malam tadi, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain yang pada mulanya disyaki mengalami jangkitan influenza, namun disahkan negatif penyakit itu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kanak-kanak itu disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dan hati.

Terdahulu, pada Isnin, seorang kanak-kanak orang kurang upaya yang disyaki dijangkiti Influenza A selepas mengalami demam sejak Jumaat meninggal dunia pada Ahad di Subang Jaya.

2. Misi bantu Australia ditangguh

Penghantaran 40 anggota bomba Malaysia ke Australia yang dijadual Rabu ini bagi membantu memadam kebakaran di negara tersebut ditangguhkan sementara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, pihak Australia meminta Malaysia meneliti keperluan mereka terlebih dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Michael Growder bagi membincangkan perkara tersebut.

3. Undi awal PRK Kimanis

Sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis akan melakukan pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, hari ini, di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut.

Pada masa sama, Astro AWANI mengadakan temu bual ekslusif bersama calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang yang akan disiarkan menerusi program Agenda AWANI pada pukul 9 malam ini.

4. Pegawai Khas KP SPRM buat laporan polis

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata laporan polis akan dibuat hari ini berhubung dakwaan terdapat komplot jenayah untuk menjejaskan reputasi peribadinya.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

5. Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal tidak tersenarai

Filem animasi Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal tidak tersenarai sebagai lima calon akhir kategori filem animasi terbaik Anugerah Akademi atau Oscars.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak mematahkan semangat Les' Copaque Production untuk terus menghasilkan karya bermutu tinggi bertaraf global selepas ini.

Aktress Scarlett Johansson mencipta sejarah tersendiri apabila dinamakan untuk dua pencalonan bagi anugerah Oscar sementara filem Joker mendahului senarai apabila tercalon dalam 11 kategori utama.

Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Isnin di sini.