Lima pengarang The Malaysian Insider (TMI) tampil memberi keterangan di Bukit Aman petang tadi susulan laporan yang disiarkan oleh portal berkenaan mengenai panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam kepada The Edge Media Group, Syahredzan Johan berkata kelima-lima mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Editor Jahabar Sadiq, Pengarang Urusan Lionel Morais, Penolong Pengarang V. Anbalagan, serta Penolong Ketua Sub-Editor Abdar Rahman Koya dan Srihanasham Noordin.

BACA: Portal The Malaysian Insider disekat penyedia jaringan Internet

“Pengambilan keterangan bermula pada jam 3.30 petang dan selesai pada jam 7.30 malam tadi. Mereka memberikan keterangan kepada pihak polis dan juga pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Mereka ditanya tentang rencana mengenai SPRM yang diterbitkan oleh TMI," kata Syahredzan kepada Astro AWANI.

BACA: TMI disekat kerana menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia - SKMM

Tambahnya, mereka disiasat di bawah Seksyen 124(i) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan SKMM ketika memberikan keterangan,” katanya lagi.

Namun Syahredzan enggan mengulas apabila ditanya bila portal TMI boleh diakses semula.

"Yang itu kena tanya pihak TMI," katanya ringkas.

Semalam, Panel Penilaian Operasi (PPO) yang menasihati SPRM menafikan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dilaporkan TMI.

Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya dalam laporan tersebut yang memetik sumber tanpa nama sebagai pemberi maklumat.

Pada Khamis, SKMM telah menyekat laman TMI yang dilakukan berdasarkan aduan-aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.