Sejumlah 477 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2) semalam (Selasa).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka tiba dari beberapa buah negara seperti China, Indonesia, Qatar, India, Thailand dan Jepun.

"Kesemua 477 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine).

"PDRM telah membuat 1,455 pemantauan pematuhan SOP home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut rekod, dari 10 Jun sehingga 14 Julai 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 18,154 individu di pintu masuk KLIA dan KLIA2.

Daripada jumlah ini, 18,081 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 73 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.