Seramai 47 rakyat Malaysia di Arab Saudi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.26 tengah hari Jumaat melalui penerbangan khas Saudia Airlines.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kos pembiayaan tiket ditanggung sepenuhnya oleh penumpang.

Kepulangan mereka dimudahcara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.

"Kesemua 47 orang rakyat Malaysia ini diwajibkan untuk menjalani proses saringan kesihatan setibanya mereka di KLIA dan seterusnya menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kementerian Luar juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana membantu melancarkan usaha kepulangan rakyat Malaysia ke tanah air.

"Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara," ujarnya.