Seramai 47 pelajar Malaysia di Riau selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tengah hari tadi.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kumpulan pertama pelajar itu dibawa pulang melalui penerbangan dari Pekanbaru ekoran pengumuman darurat jerebu di daerah berkenaan dua hari lepas (23 Sept).

Ketibaan kumpulan pelajar itu disambut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Sementara, kumpulan kedua seramai 31 lagi pelajar Malaysia dijangka tiba di klia2 pada 6.10 petang ini.


Dalam pada itu, Kementerian Luar dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sedang menguruskan pemindahan 35 pelajar dari Pekanbaru ke Jakarta untuk ditempatkan sementara di Malaysia Hall, Jakarta.

Menurut kenyataan itu, pemindahan pelajar tersebut dibantu perwakilan diplomatik Malaysia di Indonesia iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsulat Malaysia di Pekanbaru bersama wakil agensi kedua-dua perwakilan berkenaan.

Mengikut perancangan pemindahan pelajar yang ditetapkan, setakat ini seramai 113 pelajar dapat dipindahkan dari Riau.

"Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia dari kawasan-kawasan yang terjejas teruk ekoran bencana jerebu di wilayah Riau dan Jambi, Indonesia," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA