Empat sekeluarga, termasuk bayi lelaki berusia 16 bulan, maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, Perak, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput bersama isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, 27; anak bongsunya, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan; serta kakak iparnya, Nik Ifeka, 28, disahkan maut di tempat kejadian.

Anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar berusia 3 tahun dilaporkan parah dan dihantar untuk rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata siasatan awal mendapati treler muatan bahan binaan yang dipandu dari arah Ipoh dipercayai terbabas.

"Siasatan awal kami mendapati treler ini telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan. Disebabkan itu, sebuah kereta yang tidak dapat mengelak terus terlanggar di bahagian tepi (treler).

"Pemandu kereta ialah anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sungai Siput.

"Yang mati semuanya satu keluarga -- suami, isteri, kakak ipar kepada pemandu, dan anak kepada pemandu," kata Mohd Khaizam ketika ditemui di Hospital Sungai Siput.

Pemandu treler berumur 26 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan ditahan untuk diambil keterangan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak berkata mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 10.26 malam.

"Setibanya bomba di tempat kejadian, kami dapati ada tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta dan dua mangsa berada di luar kenderaan.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit untuk diberi rawatan oleh pihak hospital dan seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk diberi rawatan selanjutnya."

Difahamkan jenazah semua mangsa akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kota Bharu, Kelantan selepas selesai proses bedah siasat.