Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak telah menyelesaikan 314 kes sepanjang ia ditubuhkan pada Jun tahu lalu hingga Februari tahu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia merupakan sebahagian besar daripada 382 kes yang didaftarkan dengan baki 68 kes yang masih tertunggak.

"Selanjutnya, jumlah kes tertunggak setakat Februari 2018 adalah sebanyak 68 kes.

"Jumlah ini menunjukkan bahawa kes-kes tersebut telah diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu kurang daripada satu tahun," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu jumlah kes yang telah diselesaikan dan sedang berlangsung di Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak sejak ia mula beroperasi.

Mahkamah khas itu yang mula beroperasi pada 22 Jun tahun lalu di Putrajaya adalah yang pertama di negara ini dan Asia Tenggara yang bertujuan mendengar dan membicarakan kes kesalahan diperuntukkan dalam Akta 792 dan kesalahan jenayah seksual bawah undang-undang lain membabitkan mangsa kanak-kanak.

Azalina berkata, Perdana Menteri menyatakan dengan adanya mahkamah ini, pihak mahkamah, pendakwaan dan peguam dapat bekerjasama untuk memastikan kes kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dijalankan tanpa penangguhan.

"Hasrat Perdana Menteri ini adalah juga selari dengan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2017 yang menetapkan kes jenayah di mahkamah rendah diselesaikan atau dilupuskan dalam tempoh 12 bulan," katanya.