Kira-kira 300 kakitangan Media Prima Bhd (Media Prima) menerima notis pemberhentian kerja yang memaklumkan tarikh akhir perkhidmatan mereka ialah pada 31 Julai 2020.

Dalam satu kenyataan, konglomerat media itu memaklumkan pemberhentian itu adalah sebahagian daripada inisiatif untuk mengatasi ketidakcekapan kos akibat pertindihan tugas.

"Sebelum ini, Media Prima mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya. Perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik COVID-19," jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, faktor-faktor ini memaksa syarikat berkenaan mempercepatkan pelaksanaan fasa transformasi yang merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

"Inisiatif-inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, keputusan ini dibuat susulan perbincangan antara pihak pengurusan dan wakil daripada lima kesatuan sekerja.

Ini adalah pemberhentian pusingan kedua selepas pemberhentian pada Mac lalu yang melibatkan 543 kakitangan.

Keputusan ini dibuat susulan perbincangan antara pihak pengurusan dan wakil daripada lima kesatuan sekerja.