Seramai 255 individu dikesan ingkar menjalani ujian saringan COVID-19 kedua pada hari ke-13 kuarantin wajib di rumah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkenaan.

Justeru, mereka diberi amaran untuk segera berbuat demikian atau berdepan tindakan.

"Masih terdapat 255 individu yang ingkar untuk menjalani ujian saringan COVID-19 kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau individu yang terbabit.

"Mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk ujian saringan. PDRM akan mengambil tindakan jika mereka masih ingkar termasuk kompaun RM1,000 atau pun penjara maksimum 2 tahun," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Kerajaan katanya memandang serius kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan.

"Seperti yang berlaku di Sarawak melibatkan individu yang terbabit tidak berada dalam bilik sewaktu kuarantin di rumah dan telah menjangkiti bapanya. KKM sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat individu terbabit," ujar beliau lagi.

Sejak 10 Jun hingga 13 Julai 2020, 17,689 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Daripada jumlah itu, 17,616 individu telah diperintah untuk menjalani kuarantin wajib di rumah dan 73 orang telah dibawa ke hospital.

"Pada 13 Julai 2020, 536 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2. 535 individu diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di rumah manakala seorang lagi dibawa ke hospital," ujarnya.