Seramai 111 dalang dan ahli sindiket penyeludupan manusia termasuk 24 pegawai polis, tentera dan Jabatan Imigresen (JIM) ditahan Bukit Aman dalam satu operasi khas pada 4 hingga 20 Jun lalu.

Semua mereka dipercayai daripada tiga kumpulan sindiket dikenali sebagai Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw yang turut terbabit dalam aktiviti jenayah terancang lain di Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Polis turut merampas telefon bimbit, bot nelayan, bot laju dan wang tunai berjumlah RM1.5 juta milik tiga kumpulan terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, 24 pegawai penguat kuasa dan pasukan keselamatan yang ditahan terdiri daripada 17 pegawai polis, tentera (lima) dan JIM (dua).

"Di Johor, seramai 14 pegawai polis dan lima pegawai tentera ditahan, manakala di Perak pula, tiga orang pegawai polis dan di Pulau Pinang dua pegawai Imigresen ditahan," katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, seramai 81 orang daripada 111 suspek itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, George Town dan Ipoh, Khamis ini.

Beliau berkata, lapan lagi ahli utama ketiga-tiga kumpulan jenayah terancang terbabit sedang diburu oleh pihaknya.

Semua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012.

Berikut adalah perincian mengenai Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw.

*Geng Otong didalangi seorang lelaki Indonesia, aktif menyeludup masuk 500 hingga 600 pendatang asing tanpa izin (PATI) setiap bulan menerusi perairan Johor sejak 2014.

*Geng Halim diketuai seorang lelaki tempatan yang beroperasi membawa masuk PATI melalui hutan paya bakau di kawasan Hutan Melintang, Perak.

*Geng Husen Maungdaw diketuai lelaki Rohingya yang bukan sahaja aktif menyeludup PATI malah turut terbabit dengan jenayah samun sekitar Pulau Pinang.

Siasatan mendapati, Geng Husen Maungdaw juga dipercayai terbabit membawa masuk 269 PATI Rohingya di Langkawi, 8 jun lepas.