Seramai 230 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) pada Isnin.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, kesemua mereka ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika pemeriksaan dan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

"Daripada jumlah itu, 13 direman manakala 215 individu lagi dikenakan kompaun dan dua orang dijamin.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 69,896 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya dalam kenyataan media Pelaksanaan PKP pada Selasa.

Tambahnya, sebanyak 2,693 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,213 anggota telah membuat pemantauan di 4,137 pasar raya, 6,098 restoran serta 1,800 penjaja, 1,761 kilang, 3,769 bank dan 1,061 pejabat kerajaan.

Tidak ketinggalan 1,149 terminal pengangkutan darat, 234 terminal pengangkutan air serta 120 terminal pengangkutan udara turut dipantau.

Dalam pada itu kenyataan itu turut menjelaskan, dari 1 Mei sehingga 10 Ogos 2020, seramai 2,931 pendatang asing tanpa izin (PATI), 625 tekong serta 167 penyeludup ditahan.

"PDRM telah membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 27,200 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Sebanyak 13 operasi sanitasi meliputi 12 Zon termasuk 5 Zon Kuning yang melibatkan 7 buah negeri iaitu Sabah (6 operasi), Selangor (2 operasi), Pahang, Sarawak, Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur (1 operasi)," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, PDRM telah melakukan 1,445 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).

Selain itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 28 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 77 penguatkuasa.

Kenyataan itu turut menjelaskan, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 757 premis perniagaan termasuk peruncit (562), pemborong (166) dan pengilang (29).