Dua puluh tiga lelaki yang diburu pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) kerana disyaki terlibat jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) turut dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata kesemua mereka merupakan orang yang dikehendaki Esscom dan dipercayai masih berada di perairan Filipina.

"Ketika ini Esscom sedang mempergiat operasi memburu kesemua mereka yang terlibat yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu.

"Mereka ini juga dipercayai berulang-alik dari perairan Filipina ke Sabah bagi melakukan jenayah rentas sempadan maka Esscom meminta setiap nelayan bekerjasama dengan kami jika terlihat individu yang mencurigakan di kawasan perairan Sabah," katanya kepada Bernama hari ini.

Wan Abdul Bari juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek supaya menghubungi pusat operasi Esscom di talian 089-863181.

Pada Jumaat lepas, Esscom mengeluarkan senarai 23 orang yang diburu dan dikehendaki Esscom kerana disyaki terlibat jenayah rentas sempadan.

Maklumat mengenai setiap lelaki yang dicari itu mula diedarkan di Sabah untuk pengetahuan umum.

Kebanyakannya ialah warga Filipina yang pernah berada di negara ini, menurut jurucakap bilik gerakan Esscom yang berpangkalan di Lahad Datu.

Khamis lepas, Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, membenarkan pasukan keselamatan Malaysia mengejar kumpulan penculik sehingga ke kawasan perairan Filipina. -- Bernama