Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 227 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam 65,434 pemeriksaan pada Khamis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 62 individu telah direman manakala seorang individu dijamin.

“164 individu lagi dikenakan kompaun. Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Task Force Operasi Pematuhan PKPP yang diketuai oleh PDRM akan mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, sebanyak 3,245 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,525 anggota telah membuat pemantauan di 3,903 pasar raya, 6,080 restoran serta 1,475 penjaja, 1,303 kilang, 3,848 bank dan 865 pejabat kerajaan.

Juga dipantau, sebanyak 1,123 terminal pengangkutan darat, 222 terminal pengangkutan air serta 134 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu katanya, seramai 2,105 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), 572 tekong serta 126 penyeludup telah ditahan dari 1 Mei sehingga 23 Julai.

“Turut ditahan 79 bot dan 224 kenderaan yang terlibat dalam percubaan mencerobohi sempadan negara.

“PDRM telah membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,972 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan 10 warganegara asing atas kesalahan imigresen,” jelasnya.

Sementara itu ujar Ismail, sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac telah melakukan 9,351 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

Tambahnya, sebanyak 12,737 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,687 pusat perniagaan, 5,579 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,526 tempat awam dan 354 pasar raya.

Dalam isu kuarantin wajib pula, Ismail menegaskan, seramai 1,244 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari China, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Kemboja, Jepun, Laos, Belanda, India dan Korea pada Khamis.

Daripada jumlah itu, seramai 1,243 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine), manakala satu individu telah dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ismail menjelaskan, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 720 premis perniagaan termasuk peruncit (518), pemborong (171) dan pengilang (31) pada Khamis.

Tambahnya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Jelasnya, pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,745 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,699 premis mematuhi SOP yang ditetapkan dan 45 premis diberi nasihat manakala satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.

Sejak 13 Mei 2020, sebanyak 131,592 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP dan daripada jumlah itu 125,714 premis didapati patuh kepada SOP manakala 5,580 premis telah diberi nasihat.

Sebanyak 298 premis pula telah diberi amaran kerana tidak patuh SOP.