Sebanyak 221 kes melibatkan media sosial, laman web, dan blog telah disiasat bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun tahun ini, ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Daripada jumlah itu katanya, 19 kes telah dikenakan kompaun dan lima kes telah didakwa serta disabitkan kesalahan.

"Dalam tahun ini sahaja, pelbagai tindakan telah diambil ke atas hampir 2,000 akaun palsu yang telah dikenal pasti termasuk sekatan dan penutupan akaun.

"Untuk penutupan akaun, akaun-akaun palsu akan dilaporkan kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial yang kebanyakannya berada di luar negara seperti Facebook dan Tweeter berdasarkan pelanggaran terma dan syarat yang ditetapkan oleh mereka sendiri," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohd Fasiah mahu tahu bilangan akaun-akaun media sosial palsu yang telah disiasat dan dikenal pasti serta apakah tindakan penguatkuasaan dan undang-undang yang telah diambil untuk mengekang gejala penyebaran berita palsu.

Ujarnya, kerajaan telah menyediakan portal SEBENARNYA.MY sebagai salah satu usaha menyokong inisiatif untuk menangani masalah penularan berita palsu.

"Aplikasi mudah alih juga sedang dibangunkan untuk portal tersebut bagi memudahkan proses pengaduan," jelas Nancy.

Orang ramai juga boleh membuat aduan dan laporan menggunakan saluran sedia ada melalui Whatsapp, SMS, emel, telefon atau hadir sendiri ke pejabat SKMM.