Sebanyak 20 buah kenderaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Daerah Seremban 2019 di sini, hari ini.

Konvoi anjuran Pejabat Penerangan Daerah Seremban serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Peserta konvoi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Seremban Azlan Abdullah itu dilepaskan oleh anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin (he) di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban di sini. Pada majlis itu turut diadakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada peserta konvoi.

Konvoi berarak melalui enam lokasi iaitu bermula di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban pada pukul 9.30 pagi, kemudian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Unifield International College, Masjid Kariah Batang Benar, Bazar Central Nilai 3, dan berakhir di Dewan Orang Ramai Datuk Shahardin Labu pada pukul 5 petang ini.

Cha berkata konvoi itu bertujuan menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kecintaan masyarakat terhadap negara.

Katanya program ini dianjurkan untuk memperingati hari kemerdekaan ke-62 tahun dan melahirkan semangat patriotik serta cintakan negara dikalangan rakyat Malaysia.

"Konvoi mengelilingi beberapa lokasi di daerah ini secara tidak langsung menyemarakkan rasa keterujaan kita sebagai rakyat Malaysia yang sedang meraikan bulan kemerdekaan. Inilah yang kita ingin tunjukkan kepada rakyat supaya mereka juga turut sama menyertainya dengan mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, premis dan sebagainya," katanya selepas melepaskan peserta konvoi di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban di sini.

Beliau juga mahukan rakyat menghormati dan menghayati perjuangan orang terdahulu serta meningkatkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada tanah air.

"Marilah kita sama-sama menghayati semangat Rukun Negara yang menjadi tonggak perpaduan dan amalan hidup rakyat Malaysia. Sama-sama kita menaikkan semangat perpaduan dan saling menghormati di samping mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada kerajaan," katanya.