Dua daripada lima kanak-kanak di negara ini didapati pernah berkongsi maklumat peribadi mereka termasuk gambar tidak senonoh dengan orang tidak dikenali secara dalam talian.

Sejumlah kanak-kanak juga tidak mempunyai kesedaran pentingnya untuk melindungi maklumat peribadi mereka selain tidak tahu bagaimana untuk mengelak daripada bercakap dengan orang tidak dikenali.

Menurut Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia, Dr Rashed Mustafa Sarwar, dapatan itu diperoleh dalam satu kajian yang dijalankan badan dunia itu.

"Secara keseluruhan, kajian kami mendapati kanak-kanak tidak mempunyai kesedaran pentingnya untuk melindungi maklumat peribadi mereka. Juga mereka tidak tahu bagaimana untuk mengelak daripada bercakap dengan orang tidak dikenali.

"Bagaimanapun, kami mendapati angka yang sama bagi kanak-kanak lelaki serta perempuan telah didekati oleh orang tidak dikenali dan meminta mereka berkongsi gambar tidak senonoh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Consider This with Shaarad Khutan and Melissa Idris di Astro AWANI pada Jumaat.

Katanya, kajian itu dilakukan bagi mengetahui cabaran serta isu membelengu kanak-kanak terutama dalam penggunaan media sosial.

Katanya, sejak pandemik COVID-19 menular, pendidikan atas talian serta penggunaan internet sangat meluas dalam kalangan kanak-kanak.

"Dunia sekarang di mana sekolah dalam talian, kanak-kanak tidak lagi dapat keluar dan bermain dengan rakan-rakan mereka seperti dulu.

"Mereka duduk di rumah dan berkomunikasi dalam talian, jadi kita tiada pilihan lain. Tetapi pada masa sama, kita kena fikir secara lebih kritikal bagaimana untuk memastikan ruang dalam talian ini lebih selamat kepada mereka," katanya.

Justeru, ujar beliau, menjadi keperluan bagi ibu bapa untuk memberi perhatian pada anak-anak termasuk pendedahan pentingnya perlindungan siber terhadap kanak-kanak.