Seramai 2,800 rakyat yang pulang ke tanah air kini ditempatkan di 16 stesen kuarantin termasuk hotel dan Institut Latihan Awam (ILA), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, mereka yang pulang melalui beberapa pintu sempadan antarabangsa itu ditempatkan di 11 hotel dan ILA (lima) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

"Daripada jumlah itu, seramai 11 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Mereka telah pulang dari 23 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE dan Jepun," katanya dalam kenyataan media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.

Sementara itu, tambah Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 1,942 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing pada Khamis.

Katanya, langkah itu bagi memastikan perintah kuarantin dipatuhi oleh setiap individu yang menjalani proses berkenaan.