1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengulangi komitmen untuk hadir ke prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ogos ini bersama Pengarah Eksekutif Kumpulan dan bekas CEO syarikat itu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, 1MDB menjawab spekulasi oleh ahli politik DAP yang membuat dakwaan bahawa Arul Kanda Kandasamy dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan mengelakkan diri daripada menghadiri prosiding itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua telah mempersoalkan sama ada Shahrol Halmi dan Arul Kanda akan menghadiri prosiding PAC pada Ogos.

"1MDB mengulangi komitmen kami seperti yang diumumkan pada 25 Mei 2015, untuk menghadiri prosiding siasatan PAC," kata syarikat milik penuh kerajaan itu dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, 1MDB turut menyifatkan spekulasi oleh kedua-dua anggota DAP itu sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kritikan berat Tony yang juga merupakan ahli PAC, baru-baru ini.

Menurut 1MDB, banyak kenyataan Tony dilihat memberi sangkaan awal terhadap syarikat itu meskipun proses siasatan PAC masih belum selesai.

"1MDB mempunyai penuh keyakinan terhadap proses PAC dan yakin bahawa ahli-ahlinya yang mulia akan menjalankan peranan mereka dengan adil dan profesional.

"Kami dengan ini mengesahkan semula kehadiran dan komitmen kami untuk bekerjasama sepenuhnya dengan PAC," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Lim dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan gesaan untuk Tony Pua berhenti dari PAC susulan kritikan terbuka beliau terhadap 1MDB yang dilihat 'berat sebelah'.

Beliau mendakwa, 1MDB akan menggunakan alasan tersebut untuk tidak menghadiri prosiding siasatan tersebut.

Khamis lalu, peguam UMNO Tan Sri Shafee Abdullah dalam laporan Berita Harian telah meminta Pua meletakkan jawatan sebagai ahli PAC supaya penyiasatan terhadap 1MDB dilakukan secara adil.

Bagaimanapun, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad telah meminta Shafee agar tidak masuk campur dengan urusan jawatankuasa itu, selain mengatakan Shafee tiada hak untuk meminta Pua berbuat demikian.