Tindakan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low yang mencapai penyelesaian dengan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat untuk menyerahkan semula aset bernilai lebih AS$700 juta tidak bermakna beliau akan terlepas daripada pendakwaan di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan akan pastikan Jho Low didakwa atas salah laku yang dilakukannya di negara negara ini.

“Sehingga hari ini, ada orang menafikan masalah 1MDB, termasuk yang menyatakan 1MDB bukan masalah dan ia satu penipuan.

“Namun, ini adalah satu kenyataan dan hakikat di mana Jho Low sendiri selesaikan bayaran. Kalau (Jho Low) tak salah, mengapa buat bayaran?

“Di sini kerajaan nak tegaskan, pembayaran hampir hampir AS$1 bilion tidak bermakna beliau akan terlepas daripada pendakwaan salah laku yang dilakukan beliau ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) peringkat dasar.

Pada 31 Oktober lalu, DoJ dalam satu kenyataan berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Dengan muktamadnya penyelesaian itu, bersekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih AS$1 bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB.

Dalam kenyataan berasingan, Jho Low mengesahkan penyelesaian telahpun dicapai dengan kerajaan Amerika Syarikat berhubung kes pelucutan hak sivil.

Menurutnya, ia "menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika berkaitan dengan aset defendan yang menjadi isu itu di Daerah Tengah California.