Ada 'pengarah bayangan' di sebalik tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, ujar Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua.

Tegasnya, ia menunjukkan bukan Shahrol sahaja yang sepatutnya dipertanggungjawab dalam isu melibatkan syarikat pembangunan strategik itu.

"Ayat (dalam laporan) digunakan PAC adalah Datuk Shahrol dan lain-lain pengurusan yang berkaitan dan juga pihak lembaga pengarah dinamakan pihak sebagai gagal untuk mengawal pihak pengurusan.

"Jadi, ia melibatkan semua dalam syarikat itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini.

Tegasnya, Shahrol tidak akan mampu melakukan sebarang tindakan tanpa bantuan pihak-pihak yang berkenaan.

"Tidak mungkin beliau seorang diri boleh buat semua ini. Saya tidak percaya beliau boleh buat seorang diri tanpa campur tangan daripada pihak lain, ahli lembaga pengarah atau 'shadow director'," katanya.

Dalam pada itu, Tony turut mengalu-alukan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah 1MDB termasuk lembaga penasihatnya.

"Itu merupakan antara syor saya sendiri, Namun, tidak boleh berhenti di sana sahaja, lembaga penasihat 1MDB kenapa tidak letak jawatan lagi? Ia diminta dalam syor PAC. Itu bukan sahaja daripada saya tetapi syor PAC bahawa Lembaga Penasihat perlu dimansuhkan.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa Perdana Menteri masih belum mengumumkan pengakuan kepada syor PAC supaya lembaga penasihat dibubarkan serta merta dan Artikel 117 dikeluarkan daripada Articles of Association (M&A) syarikat.