1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mengutuk laporan terbaru Wall Street Journal (WSJ) mengenai syarikat itu dan menyifatkan ia sebagai "salah, berdasarkan sumber lemah, sensasi dan
berniat jahat."

Laporan berkaitan pembayaran "hampir US$1.0 bilion' yang menurut WSJ dibuat oleh 1MDB bagi penamatan opsyen-opsyen tertentu.

Syarikat pelaburan kerajaan itu berkata: "Memandangkan seriusnya dakwaan yang tidak dibuktikan, sendiran berniat jahat dan kesan pelan rasionalisasi 1MDB, kami menjangka bahawa setidak-tidaknya WSJ akan mempunyai rasa sopan dan berani untuk menamakan sumbernya dan/atau mengemukakan bukti."

"Ketidakupayaan untuk berbuat demikian jelas menunjukkan kecetekan dakwaan itu dan menimbulkan keraguan serius tentang sama ada para editor WSJ sendiri percaya kepada laporan yang lemah itu, dan juga para wartawannya."

Laporan itu merujuk kepada syarikat pelaburan milik Abu Dhabi, Aabar dan anak syarikatnya IPIC, yang menjalankan urusniaga dengan 1MDB.

1MDB berkata dalam satu kenyataan: "Kami menegaskan bahawa kami tidak boleh bercakap bagi pihak Aabar atau IPIC apatah lagi memberi komen mengenai urusan perakaunan pihak ketiga.

"Apa yang kami boleh mengesahkan ialah bahawa nota-nota penyata kewangan 1MDB beraudit 31.03.2014 jelas menyatakan sumber pembiayaan dan tujuan pembayaran bagi penamatan opsyen, untuk mengelakkan keraguan, adalah berstruktur sebagai deposit sementara menunggu penentuan jumlah penyelesaian muktamad (iaitu ia kini aset kewangan milik, dan belum lagi perbelanjaan 1MDB)."

Ia menambah: "1MDB boleh mengesahkan bahawa berhubung dengan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB, pilihan sebenarnya ditamatkan. Malahan, 1MDB dan anak-anak syarikatnya berkaitan telah dibebaskan daripada semua perjanjian, opsyen, kovenan, syarat dan ketentuan di pihak mereka di bawah opsyen dan sebarang hak oleh mana-mana pihak lain terhadap opsyen tersebut dilepaskan dan ditamatkan."