Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan seorang lagi pengarah syarikat itu, Tan Sri Ismee Ismail merupakan individu terkini yang dilarang ke luar negara.

Status semakan kad pengenalan ketiga-ketiga individu tersebut pada Sistem Semakan Perjalanan Imigresen (SSPI) menunjukkan, "Sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat".

Difahamkan jika tiada halangan, status akan bertulis, "Tiada halangan".

Kad pengenalan mereka diperolehi dari maklumat syarikat 1MDB oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dimuatnaik di laman web rafiziramli.com.

Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI)

Sebelum ini, beberapa portal tempatan melaporkan Arul Kanda serta dua lagi indvidu tersebut telah disekat ke luar negara berhubung skandal melibatkan syarikat pelaburan negara itu.

Dua lagi individu terdahulu yang telah dilarang ke luar negara ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu telah disahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada Sabtu lalu.