Seramai 195,929 pelajar Tahun 5, Tahun 6 serta pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di Kedah memulakan persekolahan bagi sesi kedua yang bermula hari ini.

Ianya merangkumi sekolah menengah dan rendah dibawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melibatkan 173, 697 pelajar serta 19,493 pelajar sekolah rendah agama, sekolah menengah agama, pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berada di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

Menurut Exco Pendidikan dan Agama Negeri, Datuk Najmi Ahmad, jumlah itu juga turut melibatkan sekitar 2,779 pelajar dari 74 institusi yang tidak berdaftar namun mendapat kebenaran pihak JHEAIK untuk beroperasi.

Jelasnya, prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak tempat duduk pelajar dengan pelajar lain yang diperkenalkan 24 Jun lalu turut dilaksanakan bagi sesi kali ini.

"SOP tetap sama juga, cuma mungkin ada kelonggaran, bukan bermaksud langgar SOP, tetapi kita tengok pada penjarakan sosial.

"Tetapi setakat yang sangat lihat semuanya menepati SOP.

"Pertambahan menjadi dua sesi terpulang kepada pengurusan, asalkan mereka boleh mengatur SOP perubahan, pengubahsuai dari segi itu, dari segi sesi terpulang kepada pihak sekolah," kata Najmi.

Dalam perkembangan sama, Najmi menjelaskan bahawa pihaknya menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada pentadbiran sekolah di negeri itu bagi menetapkan jenis sesi persekolahan yang akan dilaksanakan berdasarkan jumlah keseluruhan pelajar di sekolah masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi lawatan pembukaan sekolah sesi ke-2 di Sekolah Agama Daris, Sungai Petani pada Rabu.

Hari ini, pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, murid Tahun Lima dan Enam serta pelajar kelas peralihan akan memulakan sesi persekolahan bagi fasa ke-2 setelah hampir empat bulan bercuti.

Ianya selepas pelajar sesi persekolahan dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa, 24 Jun lalu.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin sebelum ini, menjelaskan pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam akan dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).