Seramai 19 wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan pasukan polis selepas didapati menawarkan khidmat seks di tiga buah pusat refleksologi di Sri Gombak di sini, malam tadi.

Kesemua wanita warga asing yang merupakan warga Thailand, Vietnam dan Kemboja itu ditahan pasukan polis daripada Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi & Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam.

Turut ditahan tiga penjaga kesemua premis itu.

Serbuan itu telah dilakukan ke atas tiga buah pusat refleksologi yang dipercayai beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu.

Malah, ketika digempur, tiga pelanggan warga Nepal sedang menikmati perkhidmatan yang ditawarkan.

Pasukan polis turut merampas pelbagai peralatan urut yang dipercayai digunakan untuk aktiviti seks.

Kesemua wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55B, Seksyen 39B dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk tindakan lanjut.