Sebanyak 19 pusat pemindahan (PP) banjir masih beroperasi di Perlis dengan menempatkan 1,504 mangsa dari 419 keluarga sementara lima yang lain telah ditutup.

Empat yang ditutup ialah dalam kawasan Parlimen Padang Besar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, PP Batu Bertangkup, Dewan Orang Ramai Titi Tinggi Hilir dan Masjid Banggol Sena sementara sebuah lagi berada dalam kawasan parlimen Arau iaitu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina, Hwa Aik Pauh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan Negeri, Rela Ahmad memberitahu hanya dua PP yang masih beroperasi dalam kawasan Parlimen Padang Besar iaitu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri dan Pusat Khidmat Mata Ayer.

Di kawasan Parlimen Kangar terdapat sembilan PP yang masih beroperasi iaitu di SK Bintong, SK Panggau, SK Sri Perlis, Dewan Orang Ramai Kota Keran, Dewan Orang Ramai Pengkalan Asam, SK Sena, Dewan Orang Ramai Repoh, Dewan Orang Ramai Taman Seri Pilihan dan Dewan Orang Ramai Tok Kandang.

Di kawasan Parlimen Arau, ia membabitkan lapan PP yang masih beroperasi iaitu Dewan Titi Besi, Dewan Orang Ramai Guar Halban, SK Kampung Serdang, Dewan Padang Nyu, Dewan Orang Ramai Bumbung Lima, SK Kubang Gajah, PP MADA Guar Sanji dan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Petani.

-- BERNAMA