Seramai 181,000 lagi pemohon akan mula menerima Bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pada Rabu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Pada minggu lalu saya berkongsi bahawa 181,000 rayuan BPN yang diluluskan akan menerima bayaran bernilai RM162 juta pada akhir bulan ini.

"Sukacita saya berkongsi bahawa bayaran ini akan dibuat mulai esok, 24 Jun 2020. Saya berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban kesemua bakal penerima BPN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-10 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia pada Selasa.

Setakat ini, 10.19 juta penerima telah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 19 Jun lalu menjadikan keseluruhan bayaran berjumlah RM10.88 bilion, iaitu 97% tahap pelaksanaan.

"Antara 12 hingga 19 Jun, sebanyak RM40 juta telah dibayar kepada 40,000 penerima BPN melalui bayaran secara tunai di cawangan-cawangan BSN seluruh negara," katanya.

Mengenai program i-Lestari KWSP, sehingga 19 Jun, sebanyak 4.3 juta permohonan telah diluluskan melibatkan RM2 bilion sebulan.

"Alhamdulillah, program i-Lestari yang dikeluarkan daripada akaun 2 KWSP telah dapat membantu mengurangkan beban aliran tunai yang dihadapi rakyat," ujarnya.