Sebanyak 16 tapak pembinaan diarah tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia susulan pemeriksaan ke atas 105 tapak binaan dilakukan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Isnin.

"Sebanyak 50 daripada tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP manakala baki 30 lagi tidak beroperasi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga Isnin adalah 2,245 manakala 437 lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran.

Pada 10 April lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan senarai sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat-peringkat sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.

Antara sektor yang dibenarkan termasuk sektor pembinaan yang membabitkan 11 kategori.

Dalam perkembangan berasingan, 22 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Indonesia, India, China, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kesemua mereka diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing," katanya.