Sarawak hari ini (Khamis, 16 April) merekodkan 16 lagi pertambahan kes baharu positif COVID-19.

Bilangan tersebut menjadikan jumlah kes di negeri itu setakat ini adalah sebanyak 387 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daripada 16 kes tersebut, 13 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Manakala, dua kes lagi direkodkan di Hospital Miri dan satu kes di Hospital Bintulu.

Laporan harian JPBN Sarawak

“Sementara itu, sebanyak 116 kes baharu Person Under Investigation (PUI) dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,065 kes,” katanya.

Jelas beliau, daripada jumlah berkenaan, 2,419 kes adalah negatif dan 49 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Di samping itu, melalui pemantaun sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pula mendapati pematuhan PKP yang dicatat buat masa ini adalah sebanyak 97 peratus.

Tambah Uggah, semalam pihak polis telah menangkap 142 orang kerana melanggar arahan itu.

"Sehingga hari ini, sejak tempoh PKP bermula 18 Mac, sebanyak 775 orang telah ditangkap, 733 orang telah dikompaun dan 484 orang telah dituduh di Mahkamah," lapornya.

Beliau berkata demikian pada sidang media JPBN di Dewan Undangan Negeri di Kuching, hari ini.