Sebanyak 16,839 dos vaksin influenza lulus penilaian kualiti oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) setakat Selasa, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, pihak pembekal akan mengagihkan stok berkenaan ke fasiliti-fasiliti yang memohon.

Angka itu adalah sebahagian daripada sejumlah 99,470 dos vaksin influenza dijangka akan dibawa masuk pada bulan ini.

"Sejumlah 15,000 dos telah tiba di Malaysia dan akan melalui penilaian kualiti dalam masa terdekat. Baki selebihnya sebanyak 67,631 dos akan tiba sekitar penghujung bulan Januari 2020," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Pada masa sama, 35,100 dos vaksin influenza daripada pembekal alternatif juga telah dibawa masuk ke Malaysia pada minggu ini bagi menampung keperluan semasa.

"Buat masa ini, pembekalan ubat antiviral Oseltamivir di fasiliti KKM yang dibuat melalui syarikat konsesi adalah mencukupi untuk menampung peningkatan semasa.

"Pihak KKM juga telah meluluskan hampir 1.4 juta kapsul / tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga 20 Januari 2020 melalui pembekal alternatif untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta. Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 140,000 orang pesakit," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, KKM menegaskan bahawa hanya pesakit influenza yang tertentu sahaja perlu dirawat dengan ubat antiviral.

"Pemberian ubat antiviral adalah berdasarkan penilaian klinikal yang dijalankan oleh doktor yang merawat. Ubat antiviral ini tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya bagi mengelakkan daripada berlakunya kerintangan (resistance) kepada ubatan tersebut," tambahnya.