Seramai 14,568 telah menjadi ahli Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Untuk Suri Rumah (i-Suri) sehingga 27 Sept lalu, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, angka itu merangkumi 6.7 peratus daripada suri rumah yang mendaftar.

"Fasa pertama program i-Suri dilancarkan pada 8 Ogos tahun ini. Ia terbuka kepada suri rumah dalam kumpulan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan Unit Koordinasi Pelaksana di Jabatan Perdana Menteri.

"Ia melibatkan pembiayaan kerajaan sebanyak RM40 sebulan kepada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah yang layak dan menyumbang sekurang-kurangnya RM5 sebulan bagi akaun yang sama," katanya semasa berucap merasmikan Forum Keselamatan Sosial Serantau ISSA untuk Asia dan Pasifik di sini, hari ini.

Fasa kedua i-Suri akan melibatkan pembiayaan kerajaan sebanyak RM10 sebulan kepada suri rumah miskin tegas dan berdaftar dengan program Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Usaha melaksanakan inisiatif ini sedang berjalan. Kita harap akan dapat lancarkannya awal tahun depan," katanya lagi.

Fasa ketiga program pula akan melibatkan suami yang bekerja dan menyumbang 2 peratus daripada KWSP kepada isterinya yang merupakan suri rumah.

Pelaksanaan skim i-Suri adalah antara janji dalam manifesto kerajaan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.