Kira-kira 12 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Inabah Kamal di sini, malam tadi.

Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Rary Binjie berkata lima jentera dengan 31 anggota ditugaskan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 8.02 malam.

"Bantuan digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kunak serta Tawau untuk memadamkan api dalam kawasan berkeluasan dua ekar.

"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan tiga aliran dan sumber air diperolehi daripada pili bomba dan air terbuka berhampiran lokasi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Rary, di peringkat awal operasi, pihaknya menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran akibat tekanan air rendah di pili bomba serta kedudukan rumah begitu rapat antara satu sama lain.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini. Foto Astro AWANI

Operasi tamat kira-kira 12 tengah malam.

Katanya tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

-- BERNAMA