Dua lelaki dicekup dalam satu serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada Isnin.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata tangkapan dibuat di kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Bandar Sunway, kira-kira jam 9.25 pagi.

Hasil serbuan itu, polis merampas sejumlah 119 ketulan mampat dadah disyaki ganja dengan anggaran nilai RM234,000.

"Kedua-dua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah. Malah ujian air kencing yang dilakukan juga negatif, menunjukkan mereka bukan penagih," kata Kamarulzaman dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, pada Selasa.

Turut disita ialah sebuah Toyota Vios, motosikal Yamaha LC 135 dan wang tunai berjumlah RM1,150.

Siasatan awal mendapati dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini melalui negara jiran untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 31 tahun itu akan direman selama tujuh hari hingga 27 Mei.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.