Sebanyak 100,000 kenderaan dijangka memasuki Kelantan sempena sambutan Aidiladha, Jumaat ini, sekali gus menyaksikan peningkatan kenderaan sebanyak 50 peratus di jalan raya negeri itu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata jumlah kenderaan dijangka adalah dari sebelah utara, selatan dan Lembah Klang.

Justeru, katanya, JPJ melaksanakan Ops Patuh sempena Aidiladha bermula semalam hingga Ahad ini dengan melibatkan 120 pegawai dan anggota dengan sasaran mengurangkan kadar kemalangan.

"Kali ini kita tidak melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) tetapi pegawai dan anggota JPJ akan ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas Ops Patuh di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Menurutnya, SJR tidak dilaksanakan bagi mengelak berlaku kesesakan trafik tetapi sebaliknya tumpuan terhadap kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, melanggar lampu isyarat, memandu sambil menggunakan telefon tangan serta menggunakan lorong kecemasan.

Jelasnya, sejak semalam sebanyak 134 kesalahan telah dikesan dan sebanyak 121 notis saman dikeluarkan membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM27,340.

"Kesalahan terbanyak adalah melibatkan kesalahan teknikal dan kita mahu orang ramai memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan mengikut spesifikasi JPJ sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan.

-- BERNAMA