ANTARA pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah 10 berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad 17 Mei 2020.

PERKEMBANGAN ISU COVID-19

1) COVID-19: 22 kes positif baharu, tiada kematian - KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ni mengesahkan terdapat 22 kes positif baharu COVID-19 dikesan di negara ini sehingga Sabtu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu lima kes merupakan kes import manakala 17 kes melibatkan penularan tempatan.

2) China catat lima lagi kes baharu, risiko gelombang kedua masih ada

China melaporkan lima kes baharu COVID-19 pada Sabtu, kurang daripada lapan kes yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), dua daripada kes itu merupakan kes import, manakala selebihnya merupakan jangkitan yang berpunca daripada kes tempatan di bandar Jilin.

Jumlah kes yang disahkan di tanah besar China kini berjumlah 82,947 dengan jumlah kematian sebanyak 4,634.

3) COVID-19: Singapura rekodkan kematian ke-22

Singapura yang mengumumkan 1,094 kes dibenarkan keluar hospital semalam, melaporkan satu lagi kematian melibatkan seorang warga emas, menjadikan jumlah kematian kepada 22.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan kes kematian terkini melibatkan seorang lelaki Singapura berusia 67 tahun yang meninggal dunia pada Jumaat lepas di Hospital Besar Sengkang.

4) COVID-19: Terkini 310,520 kematian, 4.6 juta kes positif

Angka korban akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat sebanyak 5,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan yang maut akibat wabak itu kini melepasi angka 310,000 kes.

5) COVID-19: Obama kritik pemimpin AS ambil mudah respon rakyat

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengkritik pemimpin negara itu yang mengambil mudah respon oleh rakyatnya susulan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Obama tidak menyatakan mana-mana nama pemimpin yang dimaksudkan dalam ucaptamanya kepada pelajar sekolah menengah yang tamat pengajian bagi tahun ini.


NORMAL BAHARU

1) Menjelang Aidilfitri: Ramai mahu PKP diperketat berbanding dilonggarkan

Ramai rakyat Malaysia mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan berbanding dilonggarkan terutama ketika musim perayaan, ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, perkara itu diperoleh melalui kajian dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain respon umum yang diterima ketika ini.

2) COVID-19: Tindakan rentas negeri boleh tingkatkan kluster - KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta rakyat agar terus patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya khuatir dengan tindakan sesetengah rakyat yang berdegil malah cuba merentas negeri boleh membawa kepada peningkatan kluster COVID-19 di negara ini.

3) 31,503 pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan dibenar mulakan aktiviti akademik

Kerajaan bersetuju membenarkan pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan seperti pengajian Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (Phd) untuk memulakan aktiviti akademik dengan segera di kampus semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu bakal melibatkan 31,503 pelajar.

4) Sekolah swasta, antarabangsa diingatkan tidak dibuka - Ismail

Kesemua sekolah swasta termasuk sekolah antarabangsa diingatkan agar mematuhi undang-undang negara dan tidak membuka sesi persekolahan tanpa kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, mana-mana institusi pendidikan berkenaan yang melanggar arahan itu akan diarahkan tutup.

5) Tiada lagi perhimpunan beramai-ramai, perarakan di PRK Dun Chini - Annuar Musa

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dilaksanakan menggunakan kaedah normal baharu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, penamaan calon dengan berhimpun beramai-ramai seperti yang sering dilakukan mungkin tidak akan berlaku pada PRK Chini.