Seorang maut manakala sembilan yang lain termasuk pemandu cedera selepas van kilang yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Baling-Kulim, Kampung Chenerai, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, van kilang yang membawa 10 pekerja wanita berkenaan dipercayai merempuh belakang sebuah kenderaan lain.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.25 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang penumpang maut, empat yang lain cedera parah termasuk pemandu, manakala enam lagi cedera ringan.

"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk rawatan lanjut.

"Kemalangan membabitkan sebuah van pekerja jenis Toyota Hiace telah melanggar belakang sebuah kenderaan lain.

"Ketika sampai tempat kejadian, hanya sebuah van pekerja sahaja berada di lokasi manakala sebuah lagi kenderaan tidak dapat dikenal pasti," katanya, di sini, pada Isnin.

Mohamadul Ehsan berkata pasukan keselamatan mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

"Operasi itu dianggotai seorang pegawai dan lapan anggota termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk bedah siasat," katanya.