Sejumlah 1,171 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan (KLIA2).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka tiba dari beberapa buah negara seperti Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia dan Filipina.

"Daripada jumlah itu, 1,164 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka (home quarantine) manakala tujuh individu dibawa ke hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PDRM telah membuat 944 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mengikut rekod, dari 10 Jun sehingga 3 Julai lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 10,278 individu di pintu masuk KLIA.

Daripada jumlah itu, 10,231 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala 47 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.