JIKA semalam Cristiano Ronaldo menjadi sebutan kerana semangatnya yang berjaya membantu Portugal memenangi kejohanan EURO 2016, apa kurangnya dengan adik angkatnya.

Martunis, 19 tahun, menerima pujian melambung daripada netizen selepas video dia bertadarus dimuat naik ke akaun Instagram.

Remaja yang kini bersama Akademi Bola Sepak Sporting Lisbon, memuat naik video itu ke akaun Instagramnya dengan nama martunis_ronaldo, seminggu yang lalu.

Bismillah,waktu nya tadarus

A video posted by مرتنس سربنى (@martunis_ronaldo) on


Ramai yang terharu dengan kemerduan suara Martunis mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran, selain memuji Martunis kerana tidak melupakan amalan sebagai umat Islam walaupun jauh di negara orang.

Martunis yang berasal dari Indonesia, mencetuskan rasa simpati ramai kerana kisah sedihnya yang menjadi mangsa tragedi tsunami pada tahun 2004.

Dia yang ketika itu berusia tujuh tahun, ditemui terdampar di pantai dengan mengenakan jersi pasukan bola sepak Portugal.

Martunis dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya ketika gempa bumi dan tsunami melanda.

Kisah sedih Martunis sampai ke pengetahuan Ronaldo yang kemudiannya mengambilnya sebagai adik angkat.

Ronaldo dilaporkan membantu membina semula kediaman Martunis di Banda Aceh yang musnah akibat tragedi itu.

Martunis menyertai Sporting Lisbon tahun lalu.

Kelab itu merupakan kelab pertama yang disertai Ronaldo ketika memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak.