KALAU sudah namanya Neelofa, sentuhannya pasti menjadi.

Apapun pendapat orang ramai, pengaruh pelakon dan pengacara ini tidak boleh dipertikai apabila koleksi hijab turban yang dinamakan Be Lofa Turban yang baru dilancarkan semalam, sudah pun habis terjual.

Tinjauan di laman web Naelofar Hijab mendapati, kesemua 45 warna yang dihasilkan untuk koleksi yang dijual pada harga RM73 dan RM75 itu telah disenarai sebagai sold out.

Satu lagi koleksi yang dilancarkan semalam, iaitu Be Lofa Shawl, bagaimanapun tidak dijual atas talian.

Kesemua 45 warna yang dihasilkan untuk koleksi  yang dijual pada harga RM73 dan RM75 itu telah disenarai sebagai sold out. - naelofarhijab.com

Tidak dapat dipastikan jika turban itu masih boleh didapati di kedai stokis di seluruh negara.

Dalam deskripsi di laman web itu, koleksi Be Lofa Turban disifatkan sebagai hijab kontemporari yang merupakan alternatif kepada tudung biasa dan Be Lofa Shawl, yang diperbuat daripada kain sutera terbaik, merupakan gandingan paling sesuai untuk digayakan bersama Be Lofa Turban.

Neelofa semalam melancarkan dua koleksi terbaharu itu dalam satu majlis di ibu negara yang turut diadakan bersempena majlis hari lahirnya yang ke 29.