TATKALA peminat ratu cantik tertumpu kepada pentas Miss Universe 2018 di Bangkok, Thailand.

Media sosial seperti Instagram tidak pernah lekang memaparkan ramalan wajah-wajah yang bakal merangkul tiga mahkota utama menjadi buruan ratu cantik seluruh dunia.

Selain Miss Universe, turut berlangsung ketika ini adalah Miss World di Sanya, China dan Miss Supranational di Krynica-Zdrój, Poland.

Bagi pertandingan Miss Supranational 2018, Malaysia diwakili Sanjna Suri yang dilihat cukup konsisten dan memberi saingan sengit kepada perwakilan lain.

Ketika ini di Poland, Sanjna masih lagi bersaing untuk merebut gelaran juara di pentas Grand Finale pada 7 Disember ini.

Tidak dinafikan wanita berusia 27 tahun ini punya persona dan aura yang luar biasa selain memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik.

Wajahnya sering jadi tumpuan peminat ratu cantik seluruh dunia dan ini terbukti dalam setiap ramalan, wajahnya diletakkan dalam senarai Top 5 sebaris dengan beberapa wajah favorite lain seperti Indonesia, Filipina, Mexico, Venezuela dan Vietnam.

Antara ramalan yang meletakkan Sanjna sebagai pilihan utama memenangi mhakota Miss Supranational 2018. Instagram / missoland_

Namun di sebalik setiap senarai ramalan yang dikeluarkan, Sanjna memilih untuk tidak melihat kepada semua ramalan tersebut.

Sanjna Suri turut disenaraikan dalam Best In Evening Gown by Pageantology. Instagram / real_pageantology

“Saya akan fokus dan cuba untuk tidak memikirkan setiap perkara yang boleh menjejaskan motivasi saya untuk beraksi dengan baik setiap hari.

“Setiap ramalan hanya sekadar ramalan, tidak semestinya peserta yang diletakkan di kedudukan tertinggi akan menang dan tidak semestinya peserta yang tidak disenaraikan tidak punya peluang untuk menang,” katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.

Tambahnya lagi, dia lebih komited terhadap setiap acara yang dipertandingkan dalam pertandingan tersebut dan berusaha sehabis baik untuk mempromosi nama Malaysia di mata dunia.

Menerusi beberapa perkongsiannya di Instagram, Sanjna yang juga merupakan seorang pegawai farmasi turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak jemu mengundinya untuk membolehkannya tersenarai sebagai lima peserta yang layak menyertai "royal dinner."

Acara ini bakal menyaksikan kesemua lima pemenang dengan undian tertinggi di Instagram Miss Supranational akan berpeluang menyertai acara tersebut bersama sembilan juri dan bekas pemenang Miss Supranational edisi-edisi sebelumnya.

Untuk saksikan temu bual penuh bersama Sanjna Suri sebelum berlepas ke Poland tempoh hari, saksikan menerusi pautan di bawah;