Ini mungkin akan segera difahami oleh mereka yang memakai cermin mata. Sejak amalan memakai pelitup muka menjadi kelaziman, hal berkaitan wap yang mengaburkan pandangan pada cermin mata adalah suatu yang seringkali terjadi.

Reuters melaporkan, seorang artis Jepun Takahiro Shibata juga mengalami hal yang sama dan oleh kerana itu dia mendapat idea untuk mengubah hal yang menjengkelkan itu menjadi suatu seni jenaka.

Semakin cermin matanya berwap, semakin panas dan ‘enak’ pelitup muka ramen yang dipakai akan kelihatan.

Shibata, seorang animator dan juga pereka seni, pada awalnya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan pemakai cermin mata yang memakai pelitup muka sepanjang tempoh pandemik ini.



Namun, apabila dia mendapati agak sukar mencari penyelesaiannya, dia mengambil keputusan untuk menjadikannya suatu perkara yang boleh ditertawakan bersama.

Pelitup muka ramen 3-dimensi itu, dihasilkan daripada material fabrik serat dan juga tanah liat, mengandungi apa saja bahan yang biasa ditemui dalam semangkuk sup ramen.

Apabila dipakai, bahagian hidung si pemakai akan ‘hilang’ di bawah timbunan daging, daun sup, rebung bukuh, kek ikan dan mi itu sendiri. Bagaikan hidangan panas, itulah yang kononnya menghasilkan kesan wap pada cermin mata si pemakainya.

Shibata, yang sekadar mahu menceriakan masyarakat menerusi rekaannya, bagaimanapun belum ada perancangan untuk menjual hasil kerja seninya itu.