PENYERTAAN Angela Ponce dari Sepanyol yang merupakan seorang transgender dalam pertandingan Miss Universe 2018 cetus pelbagai reaksi.

Bukan sahaja dalam kalangan netizen malah beberapa bekas pemenang pertandingan ratu cantik nyata tidak bersetuju dengan peraturan terbaharu ini.

Memetik laporan portal Philstar Global pada 6 Julai 2018, Miss Universe 1969 dari Filipina, Gloria Diaz menyatakan bahawa transgender memiliki platform mereka sendiri untuk menunjukkan kebolehan dan keunikan mereka.

“Saya percaya satu hari nanti perkara ini boleh diterima tetapi untuk sekarang mereka punya platform tersendiri," ujarnya.

Bagi Miss Universe 1973 juga dari Filipina, Margarita Moran senada dengan Gloria dan tidak bersetuju dengan peraturan baharu ini.

Jelasnya, dahulunya pertandingan ini dikhaskan untuk mereka yang dilahirkan sebagai wanita dan seharusnya perkara itu dikekalkan.

“Miss Universe merupakan pentas eksklusif bagi wanita dan transgender punya pentas mereka sendiri kerana mereka tidak dilahirkan sebagai wanita secara semula jadi.”

Perkara sama juga pernah disuarakan oleh Miss Universe 2013, Gabriella Isler dari Venezuela.
Menerusi temu bualnya bersama Huffpost bertarikh 14 November 2013, Gabriella menyuarakan pendapat sama dengan Gloria dan Margarita.

Gabriella menyuarakan pendapatnya apabila salah seorang peserta Miss Universe Kanada 2013, Jenna Talackova tidak dibenarkan menyertai acara itu di negaranya kerana Jenna tidak dilahirkan sebagai wanita.

Selain itu, Valeria Morales dari Columbia yang menyertai Miss Universe tahun ini juga pernah menerima kecaman kerana tidak bersetuju dengan penyertaan Angela Ponce.

“Kita perlu menghormatinya tetapi bukan berkongsi dengannya,” ulas Valeria dalam satu temu bual selepas dimahkotakan sebagai Miss Universe Columbia 2018.