PENGASAS Facebook, Mark Zuckerberg, 33, hari ini berkongsikan satu berita baik apabila beliau dan isteri, Priscilla Chan, 33 bakal menimang cahaya mata yang kedua.

Selepas pengalaman yang agak sukar bersama anak pertama mereka Maxima Chan, 2, Zuckerberg berkata beliau tidak pasti sama ada mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan anak.

“Apabila saya dan Priscilla mendapat tahu yang dia mengandung sekali lagi, apa yang kami harapkan adalah supaya anak kami sihat.

“Saya juga berharap supaya anak kedua kami ini adalah perempuan dan saya rasa tiada anugerah sehebat ini. Saya sangat gembira untuk Max,” kata Zuckerberg menerusi catatan Facebooknya hari ini.


Katanya, beliau dibesarkan bersama tiga adik-beradik perempuan.

“Mereka mendidik saya untuk belajar daripada wanita yang pintar dan tabah. Mereka bukan sekadar adik-beradik kepada saya, mereka adalah kawan baik saya.

“Mereka sangat cemerlang dalam muzik, sukan dan kerjaya mereka. Mereka tunjukkan kepada saya bagaimana untuk bersaing secara sihat namun masih boleh ketawa bersama selepas itu,” sambung Zuckerberg dalam status Facebook yang sama.

Warga media sosial mengucapkan tahniah kepada Mark Zuckerbeg dan keluarga selepas beliau berkongsikan berita gembira itu.

Zuckerberg terus menceritakan bagaimana kehadiran wanita memberi impak dalam hidupnya sekeluarga.

“Priscilla membesar dengan dua adik-beradik perempuan. Mereka mengajarnya kepentingan keluarga, prihatin terhadap orang lain dan usaha bekerja keras.

“Mereka membantu antara satu sama lain dalam kerjaya mereka dalam bidang perubatan dan perniagaan,” tambah Zuckerberg.

BACA: Anak perempuan Mark Zuckerberg jadi bintang Facebook sekelip mata

Kata Zuckerberg di bahagian akhir status Facebooknya; ”Kita menjadi insan yang lebih baik kerana wanita-wanita yang tabah di sekeliling kita iaitu ibu, adik-beradik dan kawan-kawan.

“Kami tidak sabar menunggu kelahiran anak kedua kami dan membesarkannya untuk menjadi wanita yang kuat.”

Sebelum ini, Zuckerberg pernah mendedahkan bahawa isterinya pernah mengalami keguguran sebanyak tiga kali sebelum mendapat Max. Sehubungan insiden keguguran tersebut, isteri mogul media sosial itu berkata peluang untuk dirinya mengandung lagi tipis.