Adakah Demi Leigh Nel-Peters bakal memahkotakan Tamaryn Green sebagai Miss Universe 2018?

Itu persoalan yang mungkin menjadi realiti kerana pemenang Miss Universe South Africa 2018 ini merupakan antara saingan paling mantap untuk edisi Miss Universe tahun ini.

Bukan sekadar cantik, malah Tamaryn antara peserta yang popular di media sosial seperti Catriona Gray (Filipina), Kiara Liz Ortega (Puerto Rico) dan Andrea Toscano (Mexico).

Jika dilihat pada sejarah penganjuran Miss Universe 2009 di Bahamas, Venezuela pernah cipta sejarah di pentas Miss Universe buat kali pertama apabila berjaya cipta kemenangan back to back pada 2008 dan 2009.

Kemenangan diraih menerusi Dayana Mendoza (2008) dan Stefania Fernandez (2009).

Begitu juga di pentas Miss World, di mana India juga pernah catat kemenangan back to back pertama dalam sejarah pertandingan itu menerusi Yukta Mookhey (1999) dan Priyanka Chopra (2000).

Sejak itu belum ada lagi kemenangan berulang dicatatkan dalam mana-mana pertandingan ratu cantik.

Tamaryn yang turut digelar 'Black Barbie' dilihat punya potensi besar untuk merangkul kemenangan ketiga Afrika Selatan selepas 1978 menerusi Margaret Gardiner dan Demi Leigh Nel-Peters pada 2017.

Namun tiga pesaing di atas dan beberapa peserta lain juga punya potensi yang cukup besar untuk merangkul gelaran sama.

Tahap keyakinan, kebijaksanaan dan stage presence antara elemen pengukur yang menentukan siapa bakal juara.

Oleh itu, ramalan mungkin hanya tinggal ramalan dan sekiranya Tamaryn Green berjaya pastinya ini merupakan hadiah terbaik darinya untuk seluruh warga Afrika Selatan.