Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2017) akan berlangsung bermula 16 hingga 20 Ogos ini, yang turut menyaksikan buat kali pertama, acara itu bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pihaknya turut melihat acara ini sebagai satu program yang dapat membantu meningkatkan sektor beli-belah negara.

“Membeli-belah merupakan sektor yang penting dan menguntungkan bagi pelancongan negara. Ia kini memegang bahagian terbesar perbelanjaan pelancong.

“Sejak tahun 2015, perbelanjaan pelancongan utama mencatat 31.3 peratus, melampaui perbelanjaan dalam sektor perhotelan.

"Trend ini berterusan ke 2016 dengan perbelanjaan pelancong di pusat beli-belah meningkat sehingga 31.7 peratus,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran media KLFW 2017 di sini hari ini.

Selain itu, acara tersebut turut berkolaborasi dengan syarikat penerbangan AirAsia.

Tahun ini merupakan tahun kelima KLFW mengumpulkan barisan pereka-pereka fesyen tempatan bagi mempamerkan rekaan terbaru mereka di pusat beli belah Pavillion, Bukit Bintang.

KLFW yang diasaskan oleh Andrew Tan dari Andrews Models menampilkan 150 pereka fesyen yang mempersembahkan koleksi Ready-to-Wear mereka sepanjang lima hari.

“Tahun lepas, KLFW menarik kunjungan lebih 100,000 orang dalam tempoh lima hari dan saya harap kita dapat atasi angka tersebut," kata Tan.

Acara kemuncak sewaktu KLFW 2017 adalah persembahan koleksi 20 finalis daripada AirAsia Runway Ready Designer Search (AARRDS) yang terdiri daripada pereka dari 10 negara ASEAN dan akan berlangsung pada 18 Ogos.

Antara yang menarik di KLFW RTW 2017 adalah:
  1. Bekerjasama dengan Amazon Fashion Week TOKYO 2018, seorang pereka tempatan akan diberi peluang untuk mempersembahkan koleksinya.
  2. Pemenang AARRDS 2016, Anuruk Jaidee bakal mempersembahkan koleksi debutnya semasa KLFW 2017.
  3. Enam orang pereka muda akan diberi peluang untuk mempamerkan interpretasi semula rekaan Batik dalam bentuk kontemporari di bawah segmen “Batik Kelantan.”
  4. Pengasas dan presiden Melium Group, Datuk Farah Khan bakal mempersembahkan koleksi eksklusif bersempena ulangtahun labelnya yang ke-10.
  5. Penerima BOF Enhancement Programme di Paris, Cassey Gan, juga bakal mempamerkan koleksinya yang dinanti-nantikan.
  6. Sempena ulangtahun ke-20 mereka, Eclipse bakal membawa koleksi yang diinspirasikan oleh lukisan karya Nobuhio Nakanishi: siri Layer Drawing.